Kehidupan seharian yang sibuk dan permintaan demi permintaan yang menyesakkan dari tempat kerja dan rumah sudah pasti membuatkan kita hilang arah. Fikiran yang berserabut boleh mengurangkan fokus kepada perkara-perkara utama yang perlu diselesaikan. Akhirnya, kerja tak selesai dan fikiran makin berserabut.Untuk menjadi seorang yang produktif, kita perlu mempunyai pandangan yang jelas dalam membezakan perkara yang penting dengan perkara yang kurang penting. Kita harus mempunyai fikiran yang tenang untuk tujuan ini. Ambillah langkah-langkah dibawah ini untuk menenangkan fikiran anda.
1. Tarik Nafas
Ingat lagi bagaimana anda bersenam di waktu pagi semasa bersekolah dulu? Ingat lagi bagaimana kita memulakan senaman dengan menarik nafas dengan kaedah yang betul? Gunakan teknik ini untuk mula mengosongkan fikiran anda.
2. Ambil Wudhuk
Jika anda seorang yang beragama Islam, mengambil wudhuk boleh menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah manusia dapat memantapkan lagi rohani kita dan air yang bersih boleh mengembalikan kita kepada fitrah kejadian. Air yang segar dapat memberi tenaga dan fokus yang diperlukan dan wajah akan pasti kembali ceria.
3. Tulis
Ada banyak perkara yang bermain di dalam fikiran anda. Anda perlu mengenalpasti apa sebenarnya yang anda fikirkan untuk membolehkan minda mengurus perkara-perkara ini. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis satu-persatu apa yang anda sedang fikirkan. Jangan cuba untuk mengenalpasti kategori perkara-perkara ini dahulu, teruskan sahaja menulis.
4. Kenalpasti Yang Utama
Setelah anda rasa puas dengan apa yang anda tulis, anda kini perlu kenalpasti yang mana yang paling utama. Tandakan dengan nombor atau gunakan “rating system” yang baik untuk membantu anda dalam proses ini. Lebih baik lagi jika anda klasifikasikan perkara-perkara ini berpandukan matlamat hidup anda dan apa yang paling penting dalam hidup anda; keluarga? kerjaya? cinta?
5. Buang Yang Tidak Penting
Pangkah atau padamkan perkara-perkara yang remeh dan tidak relevan. Perkara-perkara remeh yang anda fikirkan boleh jadi perkara seperti “Apa yang kekasih lama aku sedang lakukan?” atau “Osama hidup lagi kah?”. Anda akan dapat lihat yang kebanyakan perkara yang bermain di fikiran anda sebelum ini adalah perkara-perkara yang tidak relevan dan hanya membuatkan anda kurang produktif dalam menyelesaikan urusan harian dan masalah-masalah lain yang lebih penting. Perkara-perkara inilah sebenarnya yang menghalang anda untuk berfikir secara bijak.
6. Cukup Rehat & Tidur
Dengan memejamkan mata, atau memandang jauh ke arah kehijauan alam akan dapat memberi anda perasaan yang tenang. Tidur yang tidak cukup bermakna minda anda tidak mendapat rehat yang secukupnya. Sebab itu minda anda liar berfikir. Pejamkan mata untuk seketika di waktu rehat anda, atau keluar ambil angin dalam keadaan yang selesa dan positif.
7. Kurangkan menonton TV atau membaca akhbar di waktu pagi
Akhbar harian kita saban hari penuh dengan berita-berita yang menyanyat hati. Jenayah, kemalangan, bencana dan lain-lain boleh memberi tenaga yang negatif kepada kita. Jika anda mengamalkan tabiat membaca berita-berita ini di waktu anda bersarapan, anda akan bermula hari anda dengan pandangan yang negatif. Bangun pagi sahaja fikiran anda sudah berserabut. Elakkan atau tukar masa anda untuk membaca akhbar.
Menonton TV dengan berlebihan akan membuatkan fikiran anda menerawang jauh tentang perkara-perkara yang cuba disampaikan dalam rancangan yang anda tonton. Fokus anda kepada perkara yang lebih penting akan terjejas kerana anda mengizinkan info-info dan idea-idea baru ini masuk ke dalam minda anda. Kurangkan menonton TV.
8. Kembali Kepada Alam
Dalam kehidupan kota yang sibuk dan sesak, kita semua bergerak dengan pantas. Teknologi masa kini menjadikan kehidupan harian semakin laju. Mengembalikan diri kepada alam semulajadi akan dapat melambatkan waktu dan membolehkan anda hidup dalam waktu kini; Bukan hidup dalam waktu dahulu atau waktu hadapan, di mana anda terkejar-kejar dengan impian demi impian dan dilambatkan pula dengan kisah-kisah sedih dan sesalan demi sesalan tentang apa yang sudah pun berlaku. Bawa keluarga anda mandi air terjun atau pergi memancing dengan rakan, dan waktu akan menjadi perlahan bagi anda. Bila waktu bergerak perlahan, anda akan dapat memberi fokus.
9. Lepaskan
Anda risau tentang sesuatu? Anda rasa tidak puas tentang apa yang telah anda lakukan? Rasa marah? Berdendam? Tertekan? Cara yang paling mudah untuk mengosongkan fikiran yang berserabut adalah dengan mengalah dan melepaskan. Kita perlu menjadi seorang yang berjiwa mantap dan tegas dalam mengawal perasaan untuk membolehkan diri maju ke hadapan. Walaupun perasaan-perasaan ini adalah semulajadi, tetapi kebanyakannya adalah tidak menguntungkan. Fikirkanlah.
10. Kemas Ruang Anda
Tempat kerja atau kediaman anda perlu sentiasa berada dalam keadaan yang kemas. Mata kita sentiasa melihat, dan melihat keadaan yang tidak kemas sedikit-sebanyak akan mempengaruhi minda anda. Kita cuma tidak sedar akan hakikat ini. Ambillah tindakan dan inisiatif untuk mengemas dan anda pasti akan mendapat tenaga yang baru.
11. Berkongsi Masalah
Jangan simpan permasalahan anda. Jika anda mempunyai kekasih atau seseorang yang penting dalam hidup anda, berkongsilah masalah anda dengan mereka. Mendengar masalah orang lain juga dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda sendiri. Kadang-kadang kita tidak sedar tentang sesuatu yang lebih baik sebagai jalan penyelesaian. Dengarlah dan berbicaralah dengan hati dan minda yang terbuka.
12. Sedikit Lagi
Ingat lagi perkara-perkara yang anda tuliskan dalam langkah ketiga hingga langkah kelima? Buang separuh dari perkara-perkara ini.
13. Buat
Fikir dan buat. Jangan fikir dan terus berfikir. Buat perkara yang paling penting dan tidak mengambil masa yang lama terlebih dahulu. Jangan bertangguh!
di petik dari : esempoi
No comments:
Post a Comment