Bismillahirrahmanirrohim
Hari ni dapat satu perkongsian istimewa dari CEO Syarikat Blink. semoga menjadi pendorong semangat kepada kita untuk lebih berusah di masa-masa akan datang.
Ini saya coretkan sejarah ringkas, bagaimana ia bermula.
USAHAWAN BUKU
Saya tidak ada niat mahu menjadi usahawan buku. Saya membuka syarikat pertama kali tahun 2001 sebagai usahawan industri Telekomunikasi sebagai Mobile Content Entrepreneur.
Sejarahnya. Tahun 2005 saya ke KOREA untuk Expo Mobile Content, ia tempat berkumpulnya kebanyakan syarikat mobile content seluruh dunia. Saya dapati belum ada yang membangunkan aplikasi Mobile Book, cuma Jepun sudah mula buat novel ala blog yang boleh dibaca dalam telefon tetapi bukan aplikasi.
Tahun yang sama, saya diminta oleh pegawai MDEC masuk pitch merebut RM50K duit grant dari MDEC kerana mereka kurang penyertaan untuk sesi mobile content. Sebagai bidan terjun, saya terus terfikirkan tentang mobile book.
Saya membangunkan aplikasi 'mobile book' pertama di Malaysia selepas memenangi duit GRANT RM50K daripada MDEC. Berkemungkinan ia adalah aplikasi mobile book pertama di dunia kerana US dan UK ketika itu baru hendak bermula dalam industri mobile content.
Bermulalah misi saya mencari penulis untuk aplikasi mobile book. Sukarnya saya memahamkan penulis tentang konsep mobile book, tidak ramai yang mahu sertai.