Friday, July 12, 2013

Hak Pasangan bertunang



Oleh: SHAIFUL AZLI JAMALUDIN
       Unit Penasihat Undang-Undang, KPWKM.

Soalan :

Saya telah bertunang dengan jejaka pilihan hati untuk tempoh satu (1) tahun. Majlis perkahwinan kami sepatutnya akan berlansung seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Tetapi malangnya, pihak lelaki telah memutuskan ikatan pertunangan pada awal Ramadhan yang lalu tanpa alasan yang munasabah. Keadaan ini sangat memberi tekanan kepada saya dan keluarga memandangkan segala persiapan untuk majlis perkahwinan tersebut telah disediakan.
Hal ini juga telah mendatangkan aib kepada saya dan keluarga memandangkkan segala persiapan untuk majlis perkahwinan tersebut telah disediakan. Adakah peruntukan undang-undang yang melindungi hak-hak pihak yang meninggalkan dalam pertunangan? Siapakah yang harus membayar ganti rugi untuk segala persiapan yang telah saya dan keluarga sediakan untuk majlis perkahwinan tersebut.? saya benar-benar buntu. Harap saudara dapat membantu.

Lidya, Bangi.

Jawapan:

Pertunangan merupakan satu proses mengenali pasangan yang bakal dikahwini supaya dalam tempoh tersebut pasangan boleh mempelajari, mengkaji atau mengetahui akhlak, tabiat dan kecendrungan masing-masing. Namun demikian ianya mestilah berlandaskan kepada batasan-batasan yang dibenarkan oleh syarak.

  Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Al-Feqah Al-Islami wa-Adillatuh menyatakan pandangan beliau bahawa "Pertunangan bermakna pihak-pihak bersetuju untuk mengadakan perkahwinan dna mereka secara terus tertakluk kepada peraturan dan hukum syarak. Namun begitu, tidaklah bermakna wujudnya perkahwinan melalui proses pertunangan ini. Perkahwinan hanya akan terjadi dengan akad nikah yang sah.

Justeru itu, mana-mana pihak adalah berhak untuk membatalkan pertunangan tersebut jika terdapat sebab dan alasan yang sah bagi membolehkannya berbuat demikian. Sekiranya tiada sebab atau alasan yang munasabah, maka pertunangan tersebut tidak harus dibatalkan kerana komitmen perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Ma'idah, ayat 1 yang bermaksud : " Wahai orang-ornag yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu"
   Secara moralnya, pasangan yang bertunang tidak digalakkan untuk memutuskan ikatan pertunangan demi menjaga nama baik pihak-pihak dan keluarga mereka terutamanya kepada pihak perempuan. Perkara ini perlu dipelihara agar kemuliaan wanita terjamin dan tidak tercemar.
  Sekiranya ikatan pertunangan tidak dapat diteruskan atas alasan-alasan yang munasabah, ianya perlu dilakukan lebih awal dan tidak menunggu saat-saat akhir apatah lagi apabila persediaan untuk majlis perkahwinan telah disiapkan. Cara ini adalah lebih baik sama ada dari aspek syarak mahupun adat. 
   Peruntukan undang-undang berkaitan pihak yang munkir janji untuk berkahwin antara pasangan islam yang bertunang  dinyatakan dengan jelas di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia dan boleh dituntut di mahkamah Syariah.
  Merujuk kepada Seksyen 15, Enakmen Undang-Undang Keluarga islam (Negeri Selangor)2003 memperuntukkan bahawa :
 " Jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak sama ada secara sendirian atau melalui orang perantaraan, dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab-sebab yang sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang munkir bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengna suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan demikian boleh dituntut melalui tindakan Mahkamah."



Hak-hak yang boelh dituntut berdasarkan peruntukan seksyen ini adalah seperti berikut :

i. Phak yang diputuskan pertunangan berhak menuntut ganti rugi terhadap segala persiapan perkahwinan yang sudah dilakukan. Mahkamah akan mengambil kira sebab dan alasan yang munasabah mengapa pihak yang satu lagi mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan.

ii. Ganti rugi akan ditaksirkan berdasarkan kepada segala perbelanjaan dan persediaan yang telah dilakukan untuk majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh mahkamah. kos tersebut akan ditangung oleh  pihak yang memutuskan pertunangan tersebut.

iii. Pihak yang munkir terhadap perjanjian pertunangan juga bertangungjawab untuk memulangkan segala pemberian pertunangan sekiranya masih ada. Jika barang-barang itu sudah tiada atau telah digunakan, maka ianya akan dikira berdasarkan nilai barang itu dengan membayar wang bagi harga barang-barang berkenaan.

Peruntukan ini diwujudkan demi menjaga dan memelihara kepentingan-kepentingan pihak yang teraniaya serta menjaga kemuliaan maruah mereka. ianya juga memberi peringatan dan pengajaran kepada pihak-pihak yang mungkir terhadap perjanjian perkahwinan agar lebih berwaspada dalam membuat sesuatu keputusan yang penting dalam hidup. Sehubungan itu, peruntukan ini tidak harus dijadikan agenda untuk membalas dendam mahupun serangan peribadi terhadap pihak yang terlibat.

 Namun demikian, Seandainya pertunangan dibatalkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak , maka tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut semula pemberian masing-masing kerana pemberian tersebut dianggap sebagai hibah atau hadiah dan hadiah tersebut menjadi hak kepunyaan masing-masing. Walaupun begitu, tidak pula menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak untuk memulangkan kembali pemberian tersebut dan pihak yanng satu lagi menerimanya secara suka rela.



No comments:

Post a Comment